Tentang Kami

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Siapa kami?

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura, atau panggilan manja kami, PBMUKS, merupakan sebuah persatuan yang diselenggarakan oleh para mahasiswa-mahasiswi di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). PBMUKS juga adalah sebuah persatuan berdaftar di bawah Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri semenjak tahun 1969 lagi. Persatuan mahasiswa ini telah bertahan selama lebih 40 tahun.
PBMUKS senantiasa memberi ruang untuk para mahasiswa kami meneroka, meraih pengalaman, belajar dan menampilkan kebolehan masing-masing.

Apa tugas kami?

Penaung, Pembangun, Pemangkin– Tiga patah perkataan yang cukup bernas dalam menggambarkan peranan kami.

Kami percaya bahawa sebagai anak bangsa, kami mewarisi tradisi dan kebudayaan serta bahasa Melayu. Sebagai pewaris, kami berasa sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memartabatkan dan melestarikan khazanah warisan kita. PBMUKS berusaha untuk memastikan penakatan penggunaan dan kesyumulan bahasa dan budaya kita, di samping memastikan ianya bersifat dinamik dan kekal relevan.

Bahasa

Bahasa Melayu, seperti bahasa-bahasa yang lain, mempunyai tatabahasanya dan seninya yang tersendiri. Pada kami, Bahasa Melayu bukan hanya suatu wadah komunikasi, tetapi merupakan sebuah sistem linguistik, berharga dan harus dipelajari, dikaji serta diabadikan. Oleh kerana lingua franca dunia hari ini adalah Bahasa Inggeris, kami mahu memupuk rasa cinta kepada bangsa dan bahasa, di antara mahasiswa dan masyarakat Melayu. Insyaallah kami semua akan dapat menguasai Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, seiring dengan penguasaan dan penggunaan kami dalam bahasa ibunda sendiri.

Budaya

Budaya Melayu merangkumi pelbagai adat-istiadat, kepercayaan, dan nilai-nilai moral. Pada hemat kami, kita harus mendekati budaya warisan kita dengan paradigma yang sedia membuang yang keruh, mengambil yang jernih. Misalnya, adat Melayu seperti adab dan sopan, dan nilai-nilai murni yang lain adalah suatu yang harus kita lestarikan. Lagi satu aspek kebudayaan yang kami junjung merupakan seni tradisi Melayu, yang kaya dengan tarian, dikir barat, wayang, berbalas pantun, dan banyak lagi seni tradisi yang menjadi kebanggaan kita hari ini.

Meraikan Hari Raya, makan berdamai, dan juga lain-lain acara yang bersifat mengutuhkan ukhuwah juga merupakan sebahagian dari kebudayaan Melayu. Acara seperti beriftar bersama-sama, ataupun perjumpaan Hari Raya, dapat merapatkan silaturrahim antara para mahasiswa kami. Acara-acara seperti ini juga memberi ruang untuk kami menampilkan seni Melayu, dan meraikan bahasa.

Natijahnya, persatuan kami menggunakan unsur budaya dan bahasa sebagai ruang untuk mendekati masyarakat umum, para mahasiswa, persatuan-persatuan dan pelbagai kebudayaan yang lain.

Budaya Kerja Kami

Setiap acara, aktiviti, bengkel, dan majlis kelolaan PBMUKS merangkumi pelbagai aspek; dari yang bersifat melestarikan budaya, kepada acara-acara yang berunsur kemasyarakatan. Untuk memastikan projek-projek kami selenggarakan dengan berkesan dan sebaik-baiknya, kami mempunyai lima sekretariat di bawah naungan PBMUKS. Setiap sekretariat mempunyai tukikan tersendiri.

• Sekretariat Pendekatan Masyarakat
• Sekretariat Penerbitan
• Sekretariat Seni
• Sekretariat Persuratan

Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan, cadangan atau maklum balas.

Bagaimana ‘saya’ dapat memainkan peranan?

Kami amat memerlukan anda. Sebagai sebuah persatuan yang diselenggarakan sepenuhnya oleh para mahasiswa, kami bukan sebuah persatuan yang meraih keuntungan tahunan. Kami telah bersatu hati, sebulat suara berikrar untuk berkhidmat demi para mahasiswa-mahasiswi kami, di samping berkhidmat kepada masyarakat, dan kami sangat-sangat mengharapkan bantuan, sokongan dan berkat doa anda agar kami berjaya dalam segala prakarsa dan usaha kami.

Ada pelbagai cara dan ruang untuk anda menyertai kami, samada dengan menyertai jawatankuasa penganjur bagi projek-projek kami, sebagai penonton, atau peserta, mahupun sebagai pihak yang turut bekerjasama. Kami dengan berbesar hati menyambut anda. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *