President’s Welcome Message 2012


English
Bahasa Melayu

Assalamualaikum Wr Wb.

Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana diberikan amanah ini untuk terus melestarikan bahasa yang diwarisi; satu tanggungjawab yang harus dipegang dekat di hati. Wujudnya Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran dan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat agar khazanah yang indah lagi murni ini terus dihargai. Terutama sekali di kalangan mahasiswa dan mahasiswi di NUS, pentingnya persatuan ini berperanan sebagai pemangkin yang memberi ruang dan peluang kepada generasi penerus bahasa untuk berbakti kepada masyarakat.

Kegiatan-kegiatan teras yang dijalankan oleh PBMUKS di bawah naungan empat sekretariat – Persuratan, Penerbitan, Kebajikan dan Seni – bersifat kebahasaan dan kebudayaan dan mencapai kepada para pelajar secara amnya. Di peringkat sekolah rendah, PBMUKS mengadakan suatu pertandingan ala pidato kreatif iaitu Cakap Petah yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan pengguna-pengguna yang muda. PBMUKS turut mengadakan suatu perkhemahan khas buat pelajar-pelajar sekolah menengah – Perkampungan Bahasa – di mana penerapan unsur-unsur bahasa ditekankan lagi melalui siri bengkel dan permainan. Pesta Pantun, sebuah aktiviti teras bagi peringkat posmenengah, berperanan mewujudkan budaya berpantun secara spontan dan kreatif dengan kesedaran bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tinggi nilai dan pengajarannya yang termaktub dalam pantun pusaka Melayu. Kegiatan teras yang terakhir ialah Pentas Budaya yang merupakan suatu pementasan drama bagi membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu. Pementasan ini diharapkan dapat mencetuskan perbincangan intelektual di kalangan pemikir mahasiswa dan mahasiswi di NUS.

Tahun ini PBMUKS akan menganjurkan satu acara baharu, Perkhemahan Motivasi, yang diadakan khas buat para pelajar yang akan menduduki peperiksaan tamat sekolah rendah (PSLE). Aspek motivasi dan kepentingan obor perangsang amatlah bernilai bagi para pelajar, justeru itu merupakan satu tanggungjawab penting yang harus dipikul oleh PBMUKS.

Dalam setiap acara yang diadakan, PBMUKS berpegang kepada hala tuju persatuan yakni menuju Ke Arah Masyarakat Rabbani. Semoga acara-acara yang dikendalikan dapat mencetuskan lagi minat serta aspirasi masyarakat untuk melestarikan Bahasa Melayu, InsyaAllah.

Wassalam.

Nur Atassha Binte Mohd Nasir
Presiden
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)